Saturday, July 17, 2021

XXMENINGKAT USIA - MENGHAMPIRI AJAL

HARI SILIH BERGANTI, JANGANLAH LUPA DAN ALPA MEMBUAT PERSEDIAAN UNTUK HARI AKHIRMU DAN HARI DIRIMU DIHISAB.
قال الله تعالى : "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ." (سورة الحشر: ١٨)
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al-Hasyr: 18)
NASIHAT SAIDINA 'ABDULLAH BIN 'UMAR RADHIYALLAHU 'ANHUMA
Saidina 'Abdullah bin 'Umar Radhiayallahu 'Anhuma pernah berkata:
"Apabila kamu berada pada waktu petang, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah menunggu tibanya waktu petang.
Manfaatkankanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu."
[Riwayat al-Imam al-Bukhari rahimahullah].
PERINGATAN DARIPADA AL-IMAM AL-HASAN AL-BASRI RAHIMAHULLAH
Al-Imam al-Hasan al-Basri rahimahullah juga pernah berkata:
"Wahai anak Adam, sesungguhnya dirimu umpama sejumlah bilangan hari-hari dalam kehidupan.
Apabila berlalu satu hari daripada hidupmu, maka telah berlalulah satu bahagian daripada tempoh umur hidupmu." [Sumber: Siyar A’lam An-Nubala’]
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
1) Sedarlah bahawa setiap kali masuknya hari, minggu, bulan dan tahun baru menandakan bertambahnya umurmu dan berkurangnya tempoh hayatmu di atas dunia yang fana ini.
2) Manfaatkanlah sebaik-baiknya "nikmat umur dan masa" yang dikurniakan oleh Allah Taala kepadamu dengan amal soleh di atas jalan Rasulullah ﷺ serta persiapkanlah dirimu untuk meninggalkan dunia ini dan bertemu dengan Allah 'Azza Wajalla.
3) Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolongmu untuk melakukan semua itu melainkan Allah 'Azza Wajalla. Justeru, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah dan bersungguh-sungguhlah dalam doamu.
"Ya Allah, taufiqkanlah kami dan zuriat kami untuk sentiasa melakukan amal soleh di atas jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ sehingalah ke penghujung hayat kami dan matikanlah kami dalam keadaan beriman dan beramal soleh kepada-Mu."
PERINGATAN MESRA
Hari ini adalah hari Jumaat, penghulu segala hari yang penuh berkat.Janganlah lupa untuk perbanyakkan selawat, istighfar, zikir dan taubat.
Mudah-mudahan hidupmu berkat dan sentiasa mendapat rahmat pada setiap detik dan saat.
وصلى الله وسلم على نبينا محمد وعلى أله وصحبه وبارك وسلم.
#AbuAmmar (SAS)
Jumaat , 17 Jamadil Awwal 1442H - 1 Januari 2021

Dr Abu Anas Madani

No comments:

Post a Comment