Jika solat kurang khusyuk, fahami bacaan dalam solat agar ia dapat memudahkan kita untuk khusyuk.
Tahukah anda bahawa Allah menjawab satu persatu bacaan Al-Fatihah kita semasa kita sedang solat?
Ya, Allah menjawab. Kita tidak mendengar jawapan dari Allah. Tapi hadirkan rasa itu kerana kita sedang berdiri di hadapan Allah ketika solat. Lihat apa yang Allah jawab kepada kita,
Apabila seorang insan membaca: Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam.
Allah menjawab: Hamba Ku telah memuji Ku.
Apabila dia membaca: Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Allah menjawab: Hamba Ku telah memuliakan Ku.
Apabila dia membaca: Yang Menguasai hari pembalasan.
Allah menjawab: Hamba Ku telah mengagungkan Ku. Hamba Ku telah menyerahkan segala urusan kepada Ku.
Apabila dia membaca: Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Allah menjawab: Inilah dia antara Ku dan hamba Ku. Untuk hamba Ku apa yang dia minta.
Apabila dia membaca: Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan mereka yang Engkau beri nikmat, bukan jalan mereka yang Engkau Murkai dan bukan pula mereka yang sesat.
Lalu Allah menjawab: Inilah antara Ku dan hamba Ku. Buat hambaku apa yang dia minta. (Sahih Muslim)
Sebab tu kenapa ada orang boleh nangis bila solat. Sebab tu kenapa ada orang awal bersiap di sejadah menunggu masuk waktu solat. Sebab tu ada orang bila ada masalah, dia pasti akan banyak solat.
Mereka tidak melihat Allah, tapi mereka yakin Allah melihat mereka. Mereka rindu mahu meminta dengan Allah. Mereka yakin Allah mendengar permintaan mereka dan pasti akan dimakbulkan permintaan mereka itu.
Jika anda masih belum solat, mulalah solat hari ini. Allah sentiasa menunggu doa dari hambaNya.
Jika hatimu terdetik mahu berubah untuk mula solat, itu tanda hidayah dari Allah untukmu. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

No comments:
Post a Comment