من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة
{رواه الإمام مسلم}
Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: "Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga"
Salah satu jalan mendapat ilmu adalah dengan membaca.
Dalam kita sibuk menjalankan urusan harian, isilah juga masa kita sebentar untuk membaca. Tak lama, dapat 5 minit pun ok, lagi lama lagi baguih.
Tak kisah apa sahaja bacaan yang penting ia dari sumber yang betul, memberi manfaat dan paling penting, bahan bacaan itu menjadikan kita lebih baik dari semalam.
Hari ini ramai kita merungut bila anak-anak menghabiskan masa bermain telefon. Kita nak dia membaca tapi macam mana dia nak membaca kalau minat itu tidak hadir melalui contoh tauladan di hadapan mata.
Jadi jom kita tingkatkan amalan membaca dari masa ke semasa. kerana antara jalan untuk mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca dan mendapatkan sumber yang benar dan sahih. Kita hat dewasa perlu jadi contoh ikutan yang sihat dan baik kepada golongan yang lebih muda dengan mengamalkan budaya gemar membaca dalam kalangan masyarakat kita.
Sama-samalah kita berdoa semoga kita diambahkan ilmu pengetahuan dan dikurniakan kefahaman seperti kefahaman para nabi, hafazan para rasul, ilham para malaikat dan sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan.
Amin Ya Rabbal Alamin.
#JomMembaca
BELAJAR, BUKAN NIAT UNTUK DISEBUT 'ALIM
Sebelum ini, Guru yang Mulia Shaykh Nazrul Nasir al-Azhari ḥafiẓahuLlāh membaca kitab “Lawāqih al-Anwār” karangan al-Imam Abdul Wahab al-Sya'rani raḥimahuLlāh ( wafat tahun 974H ) pada setiap hari Juma'at, bersama dengan kitab “Tafsir Nurul Ihsan”.
Kini, kitab tersebut dibaca oleh Guru yang Mulia di Dewan Dalail al-Khairat, selepas daripada membaca rutin harian “Musabbaʼat Asyarah” dan rutin mingguan pada petang hari Isnin iaitu bertahlil لا إله إلا الله sebanyak 1,000 kali – seperti yang pernah diisyaratkan oleh Tiang Pasak Negeri Kedah, al-Arif bilLah Tuan Guru Pak Teh Mad ḥafiẓahuLlāh.
Imam Abdul Wahab al-Sya'rani raḥimahuLlāh telah menulis di bawah tajuk, “Perjanjian Keempat bagi Penuntut Ilmu” bahawa, hendaklah kita semua berjanji untuk berterusan mengulang kaji pelajaran kecuali ketika : (1) Melakukan ibadah yang mempunyai waktu tertentu seperti solat dan (2) Menunaikan hajat seperti ke tandas.
Imam al-Shafie raḥimahuLlāh ( wafat tahun 204H ) berkata bahawa : Menuntut ilmu itu terlebih afdhal berbanding menunaikan solat nafilah. Kemudian, ditambah pula oleh Imam al-Sya'rani bahawa, menuntut ilmu yang dimaksudkan pada kalam tersebut mestilah diikatkan bersama dengan ikhlas, barulah ia menjadi lebih afdhal.
Kelebihan menuntut ilmu yang disebutkan di dalam al-Quran dan disabdakan oleh Sayyiduna Rasulullah ﷺ sangat banyak sekali. Antara yang pernah disebutkan oleh Guru ialah, cukuplah sepotong ayat ini dalam menerangkan betapa tingginya darjat orang 'alim :
شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ
Maksudnya : “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan Malaikat-Malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [ Rujuk: Surah Ali-Imran, Ayat 18 ]
[ Tanbih ] Seluruh kelebihan yang diberikan kepada orang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya, hanya KHUSUS terhadap orang yang ikhlas sahaja. Pesan Guru yang Mulia : Jangan mengaku penuntut ilmu, kalau tidak ikhlas. Belajar bukan niat mahu orang menyebutnya sebagai : 'alim atau “isytighal” ( bersibuk-sibuk ) dalam waktu yang panjang semata-mata kerana ilmu.
Bahkan, terdapat amaran tegas daripada Sayyiduna Rasulullah ﷺ berkenaan tiga orang yang akan dipanggil oleh Allah Ta'ala. Lalu, diseret wajah mereka dan dilemparkan ke dalam api Neraka. Antaranya ialah orang yang menuntut ilmu, tetapi dengan niat agar disebut-sebut sebagai seorang 'alim.
Imam al-Sya'rani menimbulkan persoalan : Mengapa tidak disyariatkan solat sahaja di dalam Islam ? Sebaliknya, terdapat tuntutan untuk belajar, ada puasa, ada zakat, ada haji dan sebagainya. Jawapannya kerana, manusia cepat berasa “malal” ( bosan ) dalam membuat satu jenis perbuatan sahaja.
Kalau manusia tidak bosan, nescaya Sayyiduna Rasulullah ﷺ akan menyuruh kita untuk melakukan perkara-perkara wajib dan afdhal sahaja. Sekaligus menyuruh kepada kita agar meninggalkan terus perkara-perkara “mafdhul” ( lebih rendah daripada peringkat afdhal ) – namun, itu tidak berlaku.
Hakikatnya, manusia suka berpindah-pindah keadaan dan amalan. Belajar satu tempat juga akan cepat bosan, perlu duduk pada tempat yang berbeza-beza untuk mengelakkan jemu. [ Kata Guru yang Mulia : sebab itulah, apabila ada waktu lapang, pelajar di Zawiyah akan dibawa keluar untuk merasai suasana baru. ]
Tambah Imam al-Sya'rani lagi, apabila timbul perasaan bosan, akhirnya hilanglah tarikan dan kelazatan untuk melakukan sesuatu amalan. Jika sekiranya perkara “mafdhul” lebih hampir kepada lazat dan khusyuk, maka syarak memberi kita pilihan untuk melakukannya. Syarak membenarkan kita untuk berpindah kepada amalan yang lain.
Imam al-Shafie membahagikan malamnya kepada tiga bahagian :
1. Waktu untuk Tidur
2. Waktu untuk Ilmu
3. Waktu untuk Tahajud
Selain itu, Imam al-Sya'rani turut memberi peringatan agar penuntut ilmu memperbanyakkan menangis.
Para Sahabat radhiaLlāhu 'anhum sentiasa menangis dalam banyak keadaan sehingga meninggalkan garisan, kesan laluan air mata pada pipi mereka. Demikianlah pesanan al-Imam Abdul Wahab al-Sya'rani agar penuntut ilmu dapat menangis dengan bersungguh-sungguh sehingga boleh menjadi seperti itu.
Nasihat Guru yang Mulia, jadilah kita seperti harimau citah ( cheetah ). Binatang tersebut selalu menangis kerana takutkan Allah Ta’ala. Tangisannya sangat banyak, sehingga terbentuk lorong hitam di bawah kelopak matanya.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
والله اعلم
-Rasyid Al-Kinti


No comments:
Post a Comment