Assalamualaikum w.b.t
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan mukjizat daripada Allah SWT, al-Quran juga adalah senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.
“Dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Maidah, ayat 16)
Orang muslim yang tidak pernah membaca Al-Quran walaupun sepotong ayat adalah sama sahaja seperti tubuh yang tidak berpakaian. Ianya sangat memalukan dan tidak patut menjadi ikutan kerana Allah SWT tidak suka akan orang yang tidak membaca Al-Quran.
Ini kerana, Al-Quran merupakan kata-kata yang Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Segala suruhan, perintah dan peraturan telah Allah SWT nyatakan di dalam Al-Quran supaya hambaNya mengikut segala perintahNya dan menghindari segala laranganNya.
Membaca Al-Quran ini mempunyai banyak faedah dan kelebihannya. Walaupun sepotong ayat mahupun satu huruf di dalam Al-Quran, sekiranya membacanya, pasti akan diberikan ganjaran yang setimpal. Jadi apa yang kita boleh dapat daripada membaca Al-Quran ini?
ANTARA KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN
Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.
Membaca Al-Quran juga akan mendatangkan kebaikan, kemuliaan dan syafaat yang pasti tidak pernah dibayangkan oleh manusia sebelumnya.
Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat Jemaah.
Sesiapa yang lebih fasih membaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Setiap satu huruf yang dibaca akan memperoleh sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Membaca Al-Quran mendapat ketenangan (sakinah).
Sesiapa yang membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan dan sesiapa yang selalu ingatkan Allah dan berzikir kepadaNya Allah pasti akan memberikan ketenangan fikiran dan batin kepada mereka.
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Hati yang ikhlas dalam mengaji Quran dapat menyelamatkan diri dari kejahatan yang dapat dilihat ataupun tidak dapat dilihat. Orang yang membaca Al-Quran ini mendapat perlindungan dari Allah SWT daripada di akhirat kelak.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Jadi, jelaslah Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada pembaca-pembaca. Sememangnya dengan mengaji Quran sahaja sama ada bersendirian ataupun beramai-ramai, pasti banyak ganjarannya di dunia bahkan di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment