Saturday, November 4, 2023

KELEBIHAN AIR ZAM ZAM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan hadith-hadith tentang kelebihan air Zamzam? Dan benarkah air Zamzam ini mempunyai banyak kelebihannya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Zamzam

Perkataan Zamzam dalam bahasa Arab bermaksud yang banyak atau melimpah. [1] Manakala Zamzam yang dimaksudkan dalam Syariat adalah air yang berasal daripada telaga Zamzam yang terletak berhampiran Ka’bah, yang berjarak sekitar 38 hasta.

Dinamakan Zamzam sesuai dengan maksudnya, kerana sememangnya air daripada telaga tersebut sangat banyak dan berlimpah. Tidak habis walaupun diambil dan dibawa setiap hari ke seluruh penjuru dunia oleh umat Islam.  Dinamakan dengan Zamzam boleh juga diambil daripada perbuatan Hajar. Ketika air Zamzam terpancar, beliau segera mengumpulkan dan membendungnya. Atau diambil daripada galian Malaikat Jibril dan perkataannya ketika dia berkata kepada Hajar. Disebutkan juga, bahawa Zamzam adalah ‘alam, atau nama asal yang berdiri sendiri, bukan berasal daripada kalimat atau perkataan lain. Atau juga diambil daripada suara air Zamzam tersebut, kerana Zamzamatu al-ma’ adalah suara air itu sendiri. [2]

Nama lain bagi Zamzam seperti telah diketahui antara lain disebut juga sebagai barrah (kebaikan), madhmunah (yang berharga), taktumu (yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa’ suqim (ubat penyakit), syarab al-abrar (minuman orang-orang baik), tayyibah (yang baik). [3]

 

Kisah Air Zamzam

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa air zamzam ini mucul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah. Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) makkah. Firman Allah SWT:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. [4]

Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan di dalam sahih al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

وَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تُرْضِعُ إِسْمَاعِيلَ وَتَشْرَبُ مِنْ ذَلِكَ المَاءِ، حَتَّى إِذَا نَفِدَ مَا فِي السِّقَاءِ عَطِشَتْ وَعَطِشَ ابْنُهَا، وَجَعَلَتْ تَنْظُرُ إِلَيْهِ يَتَلَوَّى، أَوْ قَالَ يَتَلَبَّطُ، فَانْطَلَقَتْ كَرَاهِيَةَ أَنْ تَنْظُرَ إِلَيْهِ، فَوَجَدَتِ الصَّفَا أَقْرَبَ جَبَلٍ فِي الأَرْضِ يَلِيهَا، فَقَامَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَتِ الوَادِيَ تَنْظُرُ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا، فَهَبَطَتْ مِنَ الصَّفَا حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الوَادِيَ رَفَعَتْ طَرَفَ دِرْعِهَا، ثُمَّ سَعَتْ سَعْيَ الإِنْسَانِ المَجْهُودِ حَتَّى جَاوَزَتِ الوَادِيَ، ثُمَّ أَتَتِ المَرْوَةَ فَقَامَتْ عَلَيْهَا وَنَظَرَتْ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا فَفَعَلَتْ ذَلِكَ سَبْعَ مَرَّاتٍ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَذَلِكَ سَعْيُ النَّاسِ بَيْنَهُمَا» فَلَمَّا أَشْرَفَتْ عَلَى المَرْوَةِ سَمِعَتْ صَوْتًا، فَقَالَتْ صَهٍ – تُرِيدُ نَفْسَهَا -، ثُمَّ تَسَمَّعَتْ، فَسَمِعَتْ أَيْضًا، فَقَالَتْ: قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ، فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ، فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ، أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ، حَتَّى ظَهَرَ المَاءُ

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar.” [5]

Berdasarkan riwayat Ibn Majah yang akan dijelaskan di bawah nanti, suka bagi kami untuk menyatakan beberapa fadhilat dan kelebihan yang berkaitan dengan air Zamzam:

  • Ia mempunyai nama yang banyak dan nama yang banyak itu menandakan atau menunjukkan akan kemuliaannya. Dalam Taj al-Arus, dinukilkan daripada Ibn Birri, terdapat dua belas nama bagi air zamzam.
  • Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (2/41).
  • Air zamzam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang asah (lebih sahih) bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.
  • Air Zamzam adalah kurniaan daripada Allah yang utama kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Ismail AS.
  • Air Zamzam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Inilah adalah pendapat Imam Ibn al-Daiba’ al-Syaibani.
  • Allah SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.
  • Banyak meminum air Zamzam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq. (Hal ini kerana orang munafiq tidak mempercayai kelebihannya).

Melihat kepada firman Allah SWT dan hadith di atas, Allah SWT telah memberi nikmat kepadanya (Hajar) dan juga kepada anaknya (Ismail) dengan terpancutnya air (zamzam) dari tempat yang kering kontang dan tidak mempunyai apa-apa.  Berdasarkan ulasan ringkas di atas, air zamzam adalah air yang mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya dan kami akan jelaskan dengan lebih terperinci di bawah ini dengan mendatang dalil-dalil yang berkaitan dengannya.

Hadith-Hadith Berkaitan Air Zamzam

Terdapat beberapa hadith yang menceritakan berkenaan dengan air zamzam ini. Antaranya:

Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:[6]

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air Zamzam[7] bergantung pada tujuan apa diminumnya.” [8]

Hadith ini boleh difahami dengan ini dengan penambahan yang terdapat di dalam riwayat Ibn Abbas sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani iaitu:

فَإِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ مُسْتَعِيذًا عَاذَكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ لِيَقْطَعَ ظَمَأَكَ قَطَعَهُ

Maksudnya: “Jika kamu meminumnya untuk penyembuhan daripadanya maka Allah akan menyembuhkan mu, jika kamu meminumnya untuk memohon perlindungan maka Allah akan melindungimu dan jika kamu meminumnya untuk menghilangkan kehausan maka Allah akan menghilangkannya.”. [9]

Dengan itu, makna “له” atau “منه” di dalam hadith membawa maksud “من أجله (dengan apa yang dihajatkannya)”. [10]

Menurut Imam al-Syaukani, hadith ini menunjukkan bahawa ia memberi manfaat kepada peminumnya dalam apa jua perkara yang menyebabkan dia meminumnya sama ada berkaitan perkara dunia mahupun akhirat kerana “ ما (apa)” di dalam hadith “لِمَا شُرِبَ له” membawa maksud umum. [11]

Di dalam kitab al-Idhah karangan imam al-Nawawi disebutkan bahawa sunat meminum air zamzam[12] dengan sebanyaknya. Ini kerana telah thabit di dalam sahih Muslim daripada Abu Zar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada air zam-zam:

إِنَّها مُبارَكَةً، وَإِنَّها طَعامُ طُعْمٍ وَشِفاءُ سُقْمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia adalah berkat[13], dan ia adalah makanan yang mengenyangkan serta penyembuh kepada penyakit.”

Kelebihan Air Zamzam

Air Zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abu Zar R.A bahawasanya Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya air Zamzam ialah air yang penuh dengan keberkatan dan mengandungi makanan yang mengenyangkan.” [14]

Tambahan lagi, air Zamzam juga merupakan sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit. Terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.” [15]

Selain itu, al-Munawi ada menyebutkan bahawa air zamzam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S. [16]

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa air zamzam mempunyai kelebihan dan fadhilat tertentu seperti mengenyangkan dan penawar bagi segala penyakit. Selain itu, ia juga merupakan sebaik-baik air di atas muka bumi dan air yang diberkati.

Secara ringkasnya, kelebihan air Zamzam boleh disimpulkan kepada beberapa poin berikut:

  • Air zamzam adalah air terbaik di dunia. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ ،

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [17]

  • Air zamzam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِيْهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ

Maksudnya: “Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan”. [18]

 

  • Air zamzam merupakan penawar bagi penyakit. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya: “Dan penawar bagi penyakit”. [19]

  • Air zamzam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

فَنَزَلَ جِبْرِيْلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَفَرَّجَ صَدْرِيْ، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءٍ زَمْزَمَ

Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam.” [20]

 

Kisah-Kisah Sahabat dan Ulama’ Meminum Air Zamzam

Amalan meminum air zamzam ini telah diamalkan oleh para sahabat dan juga salaf al-Soleh sejak dahulu lagi. Diriwayatkan oleh imam al-Hakim bahawa Ibn Abbas RA apabila meminum air zamzam, beliau akan berdoa dengan berkata:

اَللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعَا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit.” [21]

Abu Zar al-Ghifari berkata: “Selama 30 hari aku tidak mempunyai makanan kecuali air Zamzam. Aku menjadi gemuk dan lemak perutku menjadi hilang. Aku tidak mendapati dalam hatiku kelemahan lapar.” [22]

Daripada Hammam, daripada Abu Jamrah al-Dhuba’i, katanya:

كُنْتُ أُجَالِسُ ابْنَ عَبَّاسٍ بِمَكَّةَ فَأَخَذَتْنِي الحُمَّى، فَقَالَ: أَبْرِدْهَا عَنْكَ بِمَاءِ زَمْزَمَ، فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: الحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ فَأَبْرِدُوهَا بِالْمَاءِ أَوْ قَالَ: بِمَاءِ زَمْزَمَ – شَكَّ هَمَّامٌ

Maksudnya: Aku pernah menemani Ibn Abbas di Makkah. Setelah itu, aku mengalami demam panas. Lalu Ibn ‘Abbas berkata: “Sejukkanlah ia dengan air zamzam, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demam itu adalah daripada hembusan neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah ia dengan air.” Atau katanya: “Dengan air zamzam.” (Hammam telah syak dalam hal ini). [23]

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ” menceritakan beberapa kisah ulama’ yang meminum air zamzam, antaranya:

  • Imam al-Hakim

“Telah meminumnya (air zamzam) al-Hakim Abu Abdillah agar dikurniakan oleh Allah SWT penulisan yang baik dan juga perkara-perkara yang lain. Maka dengan itu, beliau telah menjadi antara ulama’ yang telah menghasilkan penulisan atau karya-karya yang baik pada zamannya.”

  • Imam al-Iraqi

“Beliau telah meminumnya untuk sesuatu maka Allah SWT memakbulkan apa yang dihajatinya.”

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar (pengarang sendiri)

 “Aku telah meminumnya pada satu kali dan aku memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan sebagaimana imam al-Zahabi dalam menghafaz hadith-hadith Nabi SAW ketika permulaanku dalam mempelajari atau mencari hadith. Kemudian aku menunaikan haji lebih kurang 20 tahun selepas daripada itu, aku merasakan di dalam diriku bahawa kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku melebihi apa yang ada pada imam al-Zahabi. Dengan itu, aku memohon kepada Allah SWT agar memberiku martabat atau kedudukan yang lebih tinggi daripada martabat sebelum ini dan aku mengharapkan Allah SWT memakbulkan permintaanku ini.”

  • Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah

Katanya: “Sesungguhnya aku dan selain daripadaku telah mengalami (ada pengalaman) perkara yang ajaib ketika berubat dengan menggunakan air zamzam. Aku telah sembuh daripada beberapa penyakit yang menimpaku dengan izin Allah. Selain itu, aku juga telah menyaksikan seseorang yang telah menjadikan air zamzam sebagai makanannya selama beberapa hari, sekitar setengah bulan atau lebih dan dia tidak berasa lapar. Dalam masa yang sama, dia melaksanakan tawaf sebagaimana manusia yang lain. Dia telah memberitahuku bahawa kadang-kadang dia seperti itu selama empat puluh hari dan dia juga mempunyai kekuatan untuk bersama isterinya (berjimak), berpuasa dan melaksanakan tawaf berkali-kali.” [24]

Beliau turut berkata: “Ketika berada di Mekah, aku mengalami sakit dan tidak ada tabib dan ubat (yang dapat menyembuhkannya). Aku pun mengubatinya dengan meminum air Zamzam dan membacakan atasnya berulangkali (dengan al-Fatihah), kemudian aku meminumnya. Aku memperoleh kesembuhan yang sempurna. Aku pun menjadikannya untuk bersandar ketika mengalami rasa sakit. Aku benar-benar mengambil manfaat daripadanya. [25]

  

Penutup

Berdasarkan keterangan yang ringkas berkaitan air Zamzam di atas, jelaslah kepada kita berkenaan keistimewaan dan keutamaan air yang diberkati oleh Allah SWT ini sepertimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Justeru, sewajarnya kita sebagai umat Islam meyakini hal ini, dan mengamalkannya sepertimana diamalkan oleh para sahabat dan ulama’ terdahulu.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan atau merezekikan kita untuk meminum air yang berkat ini dan semoga Allah SWT memakbulkan setiap yang kita doa atau hajati. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

Sumber : https://maktabahalbakri.com/37-kelebihan-air-zamzam-dan-hadith-tentangnya/

silakan ke laman sumber ini untuk huraian detail mengenai sanad hadis)

No comments:

Post a Comment