Thursday, January 25, 2024

KENAPA HIDUP KU BERANTAKAN?

1. Mengapa hidup masih berantakan? Kurang rasa sempurna, rasa kurang bahagia, kurang rezeki, terasa sempit di sana sini, terasa payah dan banyak berkeluh kesah? Hidup bagaikan tidak lancar dan tersekat-sekat. Apa puncanya ya?

2. Kerana Subuh kita masih berantakan. Sengaja meninggalkan solat Subuh, melewatkan bangun waktu Subuh, masih tidur ketika waktu Subuh sudah habis, tidur selepas Subuh, tidak mengemaskan diri selepas bangun Subuh, malas keluar mencari rezeki selepas Subuh, dan enggan mengeluarkan sedekah Subuh. Kita tidak bersedia langsung untuk menyambut pemberian dan limpahan rezeki yang bakal Allah kurniakan kepada kita.
3. Sedangkan sebetulnya Subuh adalah barameter yang paling penting untuk kehidupan seorang manusia.
4. Lihatlah usahawan berjaya, lihatlah para pekerja yang mulia, lihatlah ibu-ibu berjiwa mulia, lihatlah bapa-bapa yang bekerja keras membangunkan keluarga, sebelum Subuh lagi mereka sudah bangun mempersiapkan diri menyambut rezeki.
5. Mereka bangun seawal pagi membersihkan diri, menyirami badan dengan air bersih, mengambil wuduk membersihkan anggota wuduk untuk menghadap Sang Pemberi rezeki, mereka sujud dalam tahajjud, mereka berdiri di hadapan Allah, kemudian bergerak ke masjid untuk berjemaah Solat Subuh.
6. Mereka mengerjakan Solat Qabliah yang pahala serta ganjarannya lebih baik dari segala dunia dan isinya. Selepas Solat Subuh, mereka berdoa menadah tangan mengharap restu dan rezeki Ilahi, keberkatan Allah mereka pohonkan, agar terbuka segala jalan kebaikan dan rahmat.
7. Kemudian, selesai Subuh saja mereka bertebaran di muka bumi demi mencari rezeki. Yang berniaga membuka kedai, yang nelayan turun ke laut, yang menoreh getah pergi ke kebun getah, yang petani turun ke bendang dan ladang sawah, yang berniaga nasi lemak membuka gerai, yang surirumah menyiapkan anak-anak dan turun ke dapur, yang bekerja keluar rumah untuk ke pejabat, yang membawa grab mulai menghantar pelanggan, yang berniaga online mulai membuka laptop dan wifi, yang menjadi guru mulai bergerak ke sekolah atau dewan pengajian, yang belajar pergi ke sekolah, yang masih di kolej dan universiti pergi ke kampus dan dewan kuliah.
8. Tidak akan terbangun para orang munafiq yang tidak Allah izinkan untuk mengerjakan Solat Subuh.
9. Tidak akan terbangun orang-orang yang banyak bermaksiat kepada Allah pada siang hari hanya untuk Solat Tahajjud.
10. Maka perhatikanlah mengapa hidup kita masih susah, stress, berantakan, sempit, tidak bahagia, banyak hutang, jauh sekali dari merasa tenang.
11. Muhasabah diri kita sendiri. Rumus mudahnya adalah ketaatan membawa kepada kebahagiaan. Manakala maksiat dan dosa membawa kita kepada kesengsaraan hidup. Jika rumus ini kita pegang sungguh-sungguh, maka perhatikanlah bahawa hidup kita akan berubah sedikit demi sedikit.
12. Sehingga kita pun akan berusaha untuk selalu taat beribadah kerana kita tahu bahawa itulah satu-satunya jalan meraih bahagia.
13. Aktiviti surau 7 Pagi, setiap jam 7 pagi. Alhamdulillah istiqamah dengannya sejak hampir 4 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

MULALAH MELANGKAH - BETTER LATE THAN NEVER

JANGANLAH KAMU BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH Firman Allah Ta’ala: قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُو...