Sunday, July 30, 2023

KEMATIAN YANG DICEMBURUI - KETIKA SEDANG MEMBERI KULIAH SUBUH


Pensyarah USIM Dr Mohd Sobri bin Awang meninggal dunia ketika sedang memberi kuliah subuh bertajuk “ Hari Mahsyar” di Surau Al Ittihadiyyah Seksyen 9 Shah Alam.
Semoga merahmati Al Marhum dan ditempatkan Rohnya bersama dengan roh orang-orang yang soleh Insyaallah… Aminnnnn.
الفاتحة الى الروح المرحوم

***********************************************************************

Al-Marhum Dr Soberi Awang: Tafsir al-Jalalain dan Syazzal Urfi fi Fanni As-Sorfi.
Secara jujur, saya tak pernah menjadi murid formal kepda al-marhum Dr Soberi Awang. Saya pelajar jurusan undang-undang & syariah, al-marhum pula mengajar kebanyakkannya pelajar jurusan fiqh & fatwa.
Tahun 2017 al-marhum masuk mengajar di Fakulti Syariah & Undang-undang, USIM. Ketika itu saya turut sama mengatur dan menguruskan program Talaqqi Rabu bersama pensyarah-pensyarah USIM di FSU. Suatu hari, saya dimaklumkan bahawa ada seorang pensyarah menyertai kelas tersebut tetapi hanya dari luar. Saya tanya, pensyarah mana? Kata sahabat saya, pensyarah baru nama Dr Soberi.
Masa berlalu beberapa minggu, sehingga saya sendiri bertemu dengan Dr Soberi. Perbualan pertama kami adalah berkenaan ilmu dan pembacaan kitab. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, saya menyatakan hasrat untuk meminta Dr Soberi turut sama membaca kitab pada kelas Talaqqi Rabu. Namun beliau dengan kerendahan diri menyatakan beliau segan dan tidak mahu membebani pelajar lain. Saya tidak melanjutkan permintaan tersebut kerana faham dan hormat.
Selang seminggu saya bertemu lagi Dr Soberi. Beliau bercerita tentang tafsir al-jalalain. Saya menelan liur, tak berani lagi memohon untuk menjadi muridnya. Namun, saya minta seorang kenalan untuk pujuk Dr Soberi sehingga bermulalah kelas tafsir al-jalalain di bilik beliau. Setiap lepas asar hari rabu, bilik beliau akan dipenuhi kami berlima untuk kelas Jalalain sehingga maghrib.
Dr Soberi tak akan mengajar banyak, sekadar setengah muka surat sekali pertemuan. Namun apa yang kami dapat, lebih dari setengah muka surat tersebut.
Selang beberapa pertemuan, Dr Soberi menyatakan bahawa rugi belajar tafsir sahaja, ada baiknya ditambah dengan ilmu nahu dan sorof juga. Lalu beliau cadangkan untuk baca Syazzal Urfi Fi Fannis Sorfi. Namun untuk kitab ini, tak sempat kami lalu banyak bab kerana pada waktu itu kami tiada kitab dan tiada wang untuk membeli kitab. Setelah kami semua ada kitab, barulah Dr Soberi mulai baca kitab tersebut.
Dari kelas khusus di bilik beliau, Dr Soberi maklumkan dia akan mengajar di Talaqqi Rabu juga kerana ada keperluan untuk orang lain juga belajar sama. Jadi kami teruskan pembelajaran dan teruskan juga menguruskan kelas-kelas beliau sehinggalah akhirnya semua daripada kami bergraduasi.
Kami sempat menghabiskan 3/4 juzuk 30 di dalam Tafsir Al-Jalalain, manakala untuk sorof pembelajaran terhenti di bilik beliau sahaja mengenangkan hadirin Talaqqi Rabu pada waktu itu kurang pendedahan kepada Ilmu Sorof untuk memungkinkan pembacaan kitab Syazzal Urfi tersebut difahami ramai.
Begitulah cerita saya dengan al-marhum Dr Soberi. Beliau orang yang suka bercerita dan mempunyai ilmu yang cukup dahsyat. Beliau orang yang berkelana mencari ilmu ke pelusuk dunia.
Kali terakhir saya berziarah kepada al-marhum adalah pada awal tahun ini di USIM. Beliau bertanyakan tentang kehidupan, saya menyatakan tentang kerisauan hidup berkeluarga. Beliau berpesan agar banyakkan membaca al-quran dan sentiasa ikhlas dalam perbuatan.
Setelah itu kami berpamitan, dan pamitan itulah yang terakhir bagi kami. Hari ini khabar tentang pengakhiran hayatnya yang mulia meruntun jiwa saya. Saya menjadi saksi kemuliaan dan kesungguhan al-marhum di dalam lapangan ilmu ini.
Semoga beliau diampunkan segala kesilapan dan ditempatkan di tempat yang
terbaik
bersama para rasul, nabi dan orang-orang yang mulia.

Al-Fatihah.

Edit :
Antara murid awal di bilik al marhum adalah Sidi Farid Wajdi, Sidi Luqman Hamzah & baba Wan Hafizuddin

Sumber : Basyīr Latīf

No comments:

Post a Comment

MULALAH MELANGKAH - BETTER LATE THAN NEVER

JANGANLAH KAMU BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH Firman Allah Ta’ala: قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُو...