Sunday, September 26, 2021

BANGSA MELAYU KETURUNAN NABI IBRAHIM AS


Kenapa Orang Arab Panggil Orang Melayu Bani Jawi?

Semenjak dua ini istilah Bani Jāwi ini sering diungkapkan namun tidak diberikan pengertian tentang siapakah mereka dan dan asal usul penamaannya. Lebih malang, istilah ini sering digunakan pendukung teori konspirasi tanpa asas yang benar.

 Penegasan: Tulisan pendek ini tidak akan menyentuh berkenaan genetik mahupun keturunan sesebuah bangsa kerana ia bukan tumpuan utama dalam menjelaskan istilah Bani Jawi ini. 

1. Jawi merupakan penisbahan orang-orang ‘Arab kepada mereka yang datang daripada kawasan Al Jāwah. Al-Jāwah tidaklah merujuk kepada kepulauan Jawa semata-mata sebagaimana pemahaman sebahagian orang.

2. Al-Jāwah dalam kitab-kitab ‘Arab disebut sebagai ‘Bilad Jāwah’ (Negeri Jawi) atau terkadang disebut sebagai ‘Mul Jāwah’, antaranya seperti dalam catatan Ibn Batutah dalam Rihlahnya dan sebagainya. 

3. Menjadi kebiasaan bagi orang ‘Arab, dalam menamakan sesebuah tempat adalah berdasarkan struktur geografi atau kedudukan tempat tersebut daripada tempat asal mereka. Misalnya Yaman, dinamakan sedemikian kerana kedudukannya di arah kanan lembah Hijaz. Begitu pula dengan Syām. 

4. Justeru, orang ‘Arab tidak menisbahkan nama tempat berdasarkan sesuatu bangsa yang spesifik. Maka para ahli bahasa ‘Arab mengemukakan berberapa teori penamaan kawasan yang disebut sebagai Al-Jāwah ini. Antaranya; 

i. Ia berasal dari kata Al Jawwu yang bermaksud ruang udara/angkasa, sebagaimana terakam dalam surah An-Nahl; ۡيِر ُمَسَّخ َٰر ٖت ِفي َجِّو ٱلَّسماء َّط َلى ٱل ِإ َلۡم َيَرۡوْا َأ “Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di ruang angkasa…”

ii. Juga berasal dari kata Al Jawwu dikatakan membawa maksud kawasan bumi yang rendah, sedangkan bentuk jamaknya disebut sebagai Al-Jiwā’. 

iii. Al Jawā dari kependekan dari kata Al Jawā’ yang memberi maksud lembah yang luas sedangkan bentuk jamaknya ialah Jawwun yang merujuk kepada keadaan kawasan ceruk bumi yang terpencil.

 iv. Al Jāwi , dengan kata jamaknya Jawāh yang merujuk kepada keadaan mukabumi yang kasar dan keras.

5. Berdasarkan berberapa teori yang dikemukakan di atas kita dapat memahami penamaan Jawi ini merujuk kepada sekitar kepulauan Nusantara yang bergunung-ganang serta terdedah kepada tiupan angin Monsun yang sederhana. 

6. Al-Qazwini, seorang ahli geografi menggambarkan bumi “Jawāh”; dalam kitabnya ” Āthār Al Bilād wa Akhbar Al ‘Ibād: “Itulah negara di pesisir pantai yang menghadap laut China, yang terletak selepas negara India. Pada zaman kita ini tidak dapatlah para pedagang yang bertolak dari negara China melainkan mesti melalui negara ini. Disebabkan melalui jalan selain negara ini (laluan sutera) di negara China menyusahkan kerana jauh jaraknya dan berbeza agamanya.” 

7. Sementara itu Professor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas pula menyatakan; “Kita tahu bahawa istilah Jawi itu adalah nama gelaran orang Arab terhadap seluruh bangsa-bangsa penduduk daerah kepulauan ini (Alam Melayu)”.

8. Kenyataan-kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan tulisan gemulah Pendeta ZA’BA; “…Macam mana pun Bahasa Melayu itulah yang dipilih mereka jadi wāsitah(pengantara) bagi menghidangkan dan mengembangkan kepada kaum mereka ‘orang Jāwi’ di Alam Melayu ini akan segala ilmu agama Islam yang mereka peroleh dalam bahasa ‘Arab dan bahasa Melayu itulah yang disebut oleh mereka ‘bahasa Jāwi’ padahal ada berberapa bahasa yang lain lagi di Tanah Jawa dan lain-lain bahagian Alam Melayu ini tidak mereka pilih dan sebut ‘bahasa Jāwi’ Bahkan sebagaimana bahasa yang disebut mereka ‘bahasa Jāwi’ itulah bahasa Melayu, bukan bahasa Jawa maka begitulah yang disebut mereka ‘tanah Jāwi’ dan ‘orang Jāwi’ itu bukannya tanah Jawa dan orang Jawa sahaja tetapi meliputi semua sekali jajahan Alam Melayu.” 

9. Justeru fahamlah kita bahawa yang dimaksudkan sebagai Bani Jāwi atau Orang Jāwi ini merujuk kepada etnik-etnik rumpun Melayu di Nusantara dan bukanlah semata-mata merujuk kepada etnik Melayu atau Jawa semata-mata.

10. Bahkan kaum India Peranakan di Pulau Pinang dan Melaka juga disebut sebagai “Jāwi Peranakan” hasil perkahwinan campuran Melayu-India, menunjukkan konteks penamaan Jāwi ini merentas sempadan bangsa. 

RUJUKAN:

1. Kamus Dewan Cetakan Keempat,DBP
2. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, DBP.
3. Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,Syed Muhammad Naquib AlAttas, Penerbit UKM
4. Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangannya, Zainal Abidin bin Ahmad, Akademi Jawi Malaysia
5. Bangsa Melayu dan Orang Jawi Mengikut Kitab Turath Arab, Wan Kamal Nadzif bin Wan Jamil, kertas kerja Prosiding Seminar Penyelidikan Kepimpinan & Pemikiran Melayu, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu(IMPAK) UiTM. 

No comments:

Post a Comment

MULALAH MELANGKAH - BETTER LATE THAN NEVER

JANGANLAH KAMU BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH Firman Allah Ta’ala: قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُو...