Wednesday, February 24, 2021

7 AMALAN YANG BOLEH DILAKUKAN DALAM SEMINIT

 Masa begitu pantas berlalu tanpa kita sedari. Terkadang kita rasa baru pagi tetapi tiba-tiba waktu dah petang.

Apa kata kita selitkan amalan supaya masa yang kita ada tidak berlalu begitu saja. Boleh buat sambil melaksanakan tugas hakiki di tempat kerja, di rumah atau di mana saja.
1) Membaca surah Al-Ikhlas
Surah Al-Ikhlas hanya mempunyai 4 ayat sahaja. Sangat mudah untuk membacanya.
Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali pada setiap hari, Allah akan bangunkan rumah untuknya di syurga. Sabda Nabi Muhammad S.A.W;
"Siapa yang membaca Qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga."
-Hadis Riwayat Ahmad
2) Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Kita memang dianjurkan untuk sentiasa berselawat kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W kerana bagi setiap selawat, Allah akan memberi 10 kali salam kepada kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan segala urusan kita dan sebagainya.
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda."
-Hadis Riwayat Muslim
Di dalam masa satu minit, kita boleh berselawat lebih 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.
3) Beristighfar memohon keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Allah akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka.
Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad S.A.W;
"Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."
-Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek “astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.
4) Bertanya khabar keluarga
Dengan wujudnya pelbagai kemudahan media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan sms, whatsapp atau telegram sahaja, sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W;
"Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim."
- Hadis Riwayat Bukhari
5) Lafaz tasbih.
Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda;
" Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan dan disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallah hil adzim. "
- Hadis Riwayat Muslim
Dengan dua kalimah yang sangat mudah untuk dilafazkan ini, ia boleh membantu kita pada hari akhirat kelak dengan memberatkan timbangan amalan kita. Bukan itu sahaja, kita juga akan disukai oleh Allah, pencipta alam.
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.
6) Akui semua kejadian adalah kehendak Allah.
Kalimah ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit. Tetapi Nabi Muhammad S.A.W juga ada bersabda;
" Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga."
- Hadis Riwayat Bukhari
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.
7) Mendoakan orang lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja. In syaa Allah, Allah juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Contohnya ketika kita dalam perjalanan ingin pergi bekerja, kita melihat seorang peminta sedekah, maka kita terus berdoa kepada Allah.
“Ya Allah, murahkanlah rezeki dia”. In syaa Allah kita juga akan turut dimurahkan rezeki.
Mulai hari ini, jangan lupa mendoakan orang lain. Nabi Muhammad S.A.W bersabda;
" Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, nescaya Allah akan memberi pahala kebaikan daripada setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya."
- Hadis Riwayat al-Thabarani
Marilah sama-sama kita amalkan 7 amalan mudah ini. Insya-Allah semoga perkara baik yang sangat mudah ini, kita memperolehi ketenangan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Wallahuaklam.
@Kredit penulis asal yang tidak diketahui.
nutfiaarash2u

No comments:

Post a Comment

MULALAH MELANGKAH - BETTER LATE THAN NEVER

JANGANLAH KAMU BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH Firman Allah Ta’ala: قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُو...